IPOH – Sokongan penuh perlu diberikan kepada Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya parti itu mahu mencatatkan peningkatan jumlah kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk Seri R Ramanan berkata, Nurul Izzah telah membuktikan keupayaan dan prestasinya ketika memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR pada PRU14, yang menyaksikan kejayaan parti memenangi hampir 50 kerusi Parlimen, jumlah tertinggi dalam sejarah PKR.
“Prestasi beliau terbukti. Pada PRU14, kita menang paling banyak kerusi semasa Nurul Izzah menjadi Pengarah Pilihan Raya. Jika beliau kembali sebagai Timbalan Presiden dan memegang semula jawatan itu, saya yakin kita bukan sahaja boleh menang 50, mungkin 70 atau 80 kerusi,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan 22 daripada 24 Ketua Cabang PKR Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin. Turut hadir, Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dan Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi.
Menurut beliau, penglibatan aktif Nurul Izzah amat penting bagi mengembalikan kekuatan PKR serta menghentikan trend penurunan bilangan kerusi seperti yang berlaku pada PRU15, apabila PKR hanya memenangi 31 kerusi Parlimen.
**media[3121976]**
“Kalau trend ini berterusan, daripada 31 mungkin jadi 19. Kita perlu formula kemenangan seperti yang digunakan oleh beliau dahulu untuk bangkit semula,” katanya.
Mengulas kritikan yang dilemparkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap dirinya, Ramanan memilih untuk tidak melayan serangan dalaman dan menegaskan kesetiaannya hanya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tak mahu langgar peraturan parti yang melarang serangan peribadi. Saya hanya minta ahli buat pilihan secara cerdik dan jangan mudah dikelirukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan menafikan dakwaan kononnya sokongan masyarakat India terhadap PKR semakin merosot, sebaliknya menegaskan pelbagai program telah dijalankan khusus untuk kaum tersebut.
Sementara itu, Mohd Azlan Helmi mengesahkan bahawa majoriti cabang PKR di Perak menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah, namun menegaskan bahawa keputusan akhir tetap terletak di tangan para perwakilan.
“Sokongan memang jelas, tapi pilihan tetap di tangan ahli. Kita serah kepada proses demokrasi dalam parti,” katanya.